Isnin, 28 Mac 2011

Boboi Boy Adiwira Hebat.....

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN





TANYA sahaja pada kanak-kanak, siapakah adiwira atau superhero pujaan mereka, pasti ada yang menjawab Ben 10, Shinichi Kudo dalam siri Detective Conan, Ultraman dan sebagainya.

Bukan kanak-kanak sahaja yang meminati siri animasi berkenaan, malah orang dewasa pun turut mengikutinya seperti mana siri kartun Upin & Ipin yang berjaya mencipta fenomena sebelum ini.

Fenomena baru dijangka akan melanda dunia animasi tempatan menerusi siri baru, BoBoiBoy sebanyak 13 episod yang ditayangkan di TV3, pukul 7 malam, Ahad lalu.

BoBoiBoy merupakan adiwira baru terbitan Animonsta Studios Sdn. Bhd., yang dicipta oleh sekumpulan tenaga mahir yang sebelum ini pernah mencipta Upin & Ipin.

Mereka yang bertanggungjawab menghasilkan BoBoiboy adalah Pengarah Urusannya, Mohd. Nizam Abd. Razak, Pengarah Eksekutif, Mohd. Safwan Abd. Karim, Pengarah Kreatif, Muhammad Anas Abd. Aziz dan Pengarah Penerbitan, Kee Yong Pin.

Menurut Mohd. Nizam, penghasilan BoboiBoy, kisah kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang mempunyai kuasa superhero bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana karakter.

Sebaliknya, ia dicipta bagi memeriahkan dunia animasi tempatan dan sekali gus mencipta satu watak adiwira atau super hero di kalangan penonton kanak-kanak.

“BoboiBoy tidak sama dengan animasi Astro Boy kerana watak BoboiBoy adalah tempatan dan kami mengambil masa selama enam bulan untuk menciptanya.

“Memang kami ada membuat rujukan dengan animasi luar tapi kami tidak tiru. Apa yang dihasilkan adalah idea anak tempatan. BoBoiBoy dihasil berdasar perbincangan dan pendapat orang ramai yang dibuat di laman sosial facebook,” katanya pada majlis pra-tonton siri BoBoiBoy baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis yang diadakan di The Curve, Mutiara Damansara itu adalah Penganalisa Jenama Pengurusan Jenama TV3 Kids, Azri Badri, Pengurus Besar Pemasaran Munchy‘s, Edward Chen dan Pengurus Penjenamaan Munchy‘s Beh Pol Yee.

Kata Mohd. Nizam, seperti adiwaira lain BoBoiBoy yang tinggal bersama datuknya, Tok Aba, itu juga mempunyai kelebihan kuasa terhadap tanah, angin dan petir.

“BoBoiBoy mempunyai tiga orang kawan iaitu YaYa, Ying dan Gopal. Yaya mempunyai kuasa tangkas yang membolehkan dia terbang.

“Gopal pula mempunyai sentuhan ajaib kerana setiap benda yang dipegang akan menjadi makanan dan Ying pula boleh berlari laju namun kuasanya akan hilang apabila bersin,” ceritanya.

Menurutnya, setiap episod mempunyai jalan cerita yang berbeza walaupun ditonjolkan BoBoiBoy dan rakan-rakan menentang Adu Du yang tidak pernah berputus asa untuk merampas peralatan canggih milik dan resipi Tok Aba.

Katanya, walaupun ditonjolkan BoBoiBoy sebagai adiwira namun tiada adegan keganasan, tahyul atau percintaan.

Siri animasi tiga dimensi (3D) yang menelan belanja RM2.6 juta yang dibuat dalam Bahasa Melayu dan Inggeris itu juga berjaya menarik perhatian Disney Channel.

“Paling lewat Disney Channel mungkin akan tayang awal Jun ini.

Disebabkan itulah kami awal-awal telah menyediakan dua versi bahasa untuk tayangan.

“Setakat ini, siaran TV dari negara jiran juga berminat untuk membeli BoBoiBoy tapi tumpuan utama kami adalah untuk tempatan dulu. Kalau semuanya berjalan lancar, kami juga bercadang untuk menghasilkan filem,” katanya.

Untuk penyiaran di TV3, BoBoiBoy turut mendapat kerjasama daripada Munchy‘s yang sudah pun mempunyai maskot sendiri iaitu Kapten Munch.

Menurut Edward Chen, Munchy‘s sedia bekerjasama dengan Animonsta kerana sebagai syarikat tempatan mereka sentiasa menyokong produk negara.

“Setelah melihat hasil kerja mereka, kami yakin BoBoiBoy boleh menarik perhatian penonton terutama kanak-kanak. Lagipun siri ini relevan dengan produk kami,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan