Isnin, 28 Mac 2011

Boboi Boy Adiwira Hebat.....

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN





TANYA sahaja pada kanak-kanak, siapakah adiwira atau superhero pujaan mereka, pasti ada yang menjawab Ben 10, Shinichi Kudo dalam siri Detective Conan, Ultraman dan sebagainya.

Bukan kanak-kanak sahaja yang meminati siri animasi berkenaan, malah orang dewasa pun turut mengikutinya seperti mana siri kartun Upin & Ipin yang berjaya mencipta fenomena sebelum ini.

Fenomena baru dijangka akan melanda dunia animasi tempatan menerusi siri baru, BoBoiBoy sebanyak 13 episod yang ditayangkan di TV3, pukul 7 malam, Ahad lalu.

BoBoiBoy merupakan adiwira baru terbitan Animonsta Studios Sdn. Bhd., yang dicipta oleh sekumpulan tenaga mahir yang sebelum ini pernah mencipta Upin & Ipin.

Mereka yang bertanggungjawab menghasilkan BoBoiboy adalah Pengarah Urusannya, Mohd. Nizam Abd. Razak, Pengarah Eksekutif, Mohd. Safwan Abd. Karim, Pengarah Kreatif, Muhammad Anas Abd. Aziz dan Pengarah Penerbitan, Kee Yong Pin.

Menurut Mohd. Nizam, penghasilan BoboiBoy, kisah kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang mempunyai kuasa superhero bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana karakter.

Sebaliknya, ia dicipta bagi memeriahkan dunia animasi tempatan dan sekali gus mencipta satu watak adiwira atau super hero di kalangan penonton kanak-kanak.

“BoboiBoy tidak sama dengan animasi Astro Boy kerana watak BoboiBoy adalah tempatan dan kami mengambil masa selama enam bulan untuk menciptanya.

“Memang kami ada membuat rujukan dengan animasi luar tapi kami tidak tiru. Apa yang dihasilkan adalah idea anak tempatan. BoBoiBoy dihasil berdasar perbincangan dan pendapat orang ramai yang dibuat di laman sosial facebook,” katanya pada majlis pra-tonton siri BoBoiBoy baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis yang diadakan di The Curve, Mutiara Damansara itu adalah Penganalisa Jenama Pengurusan Jenama TV3 Kids, Azri Badri, Pengurus Besar Pemasaran Munchy‘s, Edward Chen dan Pengurus Penjenamaan Munchy‘s Beh Pol Yee.

Kata Mohd. Nizam, seperti adiwaira lain BoBoiBoy yang tinggal bersama datuknya, Tok Aba, itu juga mempunyai kelebihan kuasa terhadap tanah, angin dan petir.

“BoBoiBoy mempunyai tiga orang kawan iaitu YaYa, Ying dan Gopal. Yaya mempunyai kuasa tangkas yang membolehkan dia terbang.

“Gopal pula mempunyai sentuhan ajaib kerana setiap benda yang dipegang akan menjadi makanan dan Ying pula boleh berlari laju namun kuasanya akan hilang apabila bersin,” ceritanya.

Menurutnya, setiap episod mempunyai jalan cerita yang berbeza walaupun ditonjolkan BoBoiBoy dan rakan-rakan menentang Adu Du yang tidak pernah berputus asa untuk merampas peralatan canggih milik dan resipi Tok Aba.

Katanya, walaupun ditonjolkan BoBoiBoy sebagai adiwira namun tiada adegan keganasan, tahyul atau percintaan.

Siri animasi tiga dimensi (3D) yang menelan belanja RM2.6 juta yang dibuat dalam Bahasa Melayu dan Inggeris itu juga berjaya menarik perhatian Disney Channel.

“Paling lewat Disney Channel mungkin akan tayang awal Jun ini.

Disebabkan itulah kami awal-awal telah menyediakan dua versi bahasa untuk tayangan.

“Setakat ini, siaran TV dari negara jiran juga berminat untuk membeli BoBoiBoy tapi tumpuan utama kami adalah untuk tempatan dulu. Kalau semuanya berjalan lancar, kami juga bercadang untuk menghasilkan filem,” katanya.

Untuk penyiaran di TV3, BoBoiBoy turut mendapat kerjasama daripada Munchy‘s yang sudah pun mempunyai maskot sendiri iaitu Kapten Munch.

Menurut Edward Chen, Munchy‘s sedia bekerjasama dengan Animonsta kerana sebagai syarikat tempatan mereka sentiasa menyokong produk negara.

“Setelah melihat hasil kerja mereka, kami yakin BoBoiBoy boleh menarik perhatian penonton terutama kanak-kanak. Lagipun siri ini relevan dengan produk kami,” katanya.

Ahad, 20 Mac 2011

Tan Sri P.Ramlee Dalam Kenangan...










Tan Sri Dr. P. Ramlee (1929 - 1973) atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh merupakan seorang pelakon, penyanyi, pengarah, pemain muzik dan penulis lagu terkenal di Malaysia dan Singapura.Isi kandungan [sorok]

Latar belakang

Beliau telah dilahirkan di Pulau Pinang pada pagi Hari Raya Aidilfitri 22 Mac 1929 kepada pasangan Teuku Nyak Puteh Teuku Karim (1902 - 1955) dan Che Mah Hussein (1904 - 1967). Bapanya yang berasal dari Lhokseumawe, Acheh, telah mendirikan rumahtangga dengan Che Mah Hussein pada tahun 1925 di Kubang Buaya, Butterworth. P. Ramlee juga mempunyai seorang adik-beradik tiri, Syeikh Ali, yang sama ibu dengannya.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudian ke Sekolah Francis Light. Seterusnya beliau menyambung pelajaran di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Ketika pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, beliau belajar di Sekolah Tentera Laut Jepun sebelum kembali ke Penang Free School apabila tamat perang.

Permulaan kerjaya seni

Bermula dengan bermain Ukulele, P. Ramlee beralih kepada gitar dan biola di bawah bimbingan Encik Kamaruddin (pemimpin brass band di Penang Free School). Beliau menyertai Orkes Teruna Sekampung dan kemudian Sinaran Bintang Sore. Beliau pernah menjadi juara nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang pada tahun 1947 dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Dalam pertandingan itu, beliau menggunakan huruf "P" (bagi Puteh) di awal namanya dan kekallah nama P. Ramlee itu hingga ke akhir hayatnya.

Filem pertama lakonan P.Ramlee adalah "Chinta" pada tahun 1948. Beliau memegang peranan sebagai penjahat dan nyanyian latar. Kejayaannya terus berkembang dan telah berjaya berlakon di dalam 27 buah filem di antara tahun 1948 hingga 1955. Salah seorang pendorong dan guru P. Ramlee dalam dunia perfileman Melayu adalah Datuk L. Krishnan (Pengarah filem Melayu tahun 50-an dan 60-an yang terkenal). Gaya lakonan P. Ramlee yang amat berjaya itu adalah hasil inspirasi P. Ramlee daripada dua pelakon terkenal India Selatan iaitu MGR dan Sivaji Ganesan. Filem terakhir lakonan beliau ialah "Laksamana Do Re Mi" pada tahun 1972 dan lagu dan lirik terakhirnya adalah "Ayer Mata Di Kuala Lumpur" pada tahun 1973 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

Keluarga & Perkahwinan

P. Ramlee & Salmah Ismail (Saloma)

P. Ramlee pernah berkahwin tiga kali. Kali pertama beliau berkahwin dengan Junaidah Daeng Harris pada 1950 tetapi perkahwinan hanya bertahan selama empat tahun. Perkahwinan kedua P. Ramlee adalah dengan Noorizan Mohd Noor pada 6 Februari 1955, seorang kerabat diraja negeri Perak yang sanggup meninggalkan alam istana demi orang yang dicintainya itu. Walau bagaimanapun, Norizan mengharapkan sesuatu yang lebih dari perkahwinan mereka tetapi P. Ramlee lebih menumpukan hidupnya kepada kerjaya seninya yang menyebabkan perkahwinan mereka retak. Kali terakhir adalah dengan Salmah Ismail (Saloma) pada 21 November 1961 dalam satu majlis yang sangat sederhana bersama rakan-rakan terdekatnya.

Wanita dalam hidup P. Ramlee menyintai beliau atas sebab-sebab yang berbeza. Isteri pertama beliau, Junaidah, menyintai P. Ramlee ketika beliau masih belum ternama manakala Norizan menyintai P. Ramlee sebagai seorang seniman dan pembikin filem yang terkenal. Walau bagaimanapun, Saloma menyintai P. Ramlee seadanya iaitu sebagai seorang seniman dan sebagai seorang yang biasa yang menyebabkan Saloma menjadi teman hidup sehati sejiwa beliau sehingga ke akhir hayat.

Anak-anak

P. Ramlee mempunyai ramai anak yang dijaga beliau dan tetapi hanya dua orang sahaja yang merupakan anak kandungnya hasil perkahwinan beliau dengan Junaidah. Anak-anak beliau banyak membantu beliau dalam kerja seperti menjadi penyanyi latar kanak-kanak (contohnya lagu Tolong Kami Bantu Kami dari filem 3 Abdul) dan pelakon kanak-kanak tambahan (contoh Sazali yang berlakon sebagai anak pekerja ladang dalam Anak Bapak). Berikut merupakan anak-anak yang pernah dijaga beliau:
1) Mohd Nasir : Anak kandung bersama Junaidah (1953-2008)
2) Arfan : Anak kandung bersama Junaidah (1954-1998)
3) Sazali : Anak angkat (lahir 1958)
4) Abdul Rahman : Anak tiri (anak Junaidah)
5) Norma : Anak tiri (anak Noorizan)
6) Armali : Anak tiri (anak Saloma dan A.R.Tompel)
7) Betty : Anak angkat
8) Zakiah @ Zazaloma : Anak angkat (lahir 1963)
9) Sabaruddin @ Badin : Anak angkat (1966-2007)
10) Salfarina @ Dian : Anak angkat (keturunan Cina)

Penghargaan selepas pemergian

P. Ramlee menerima Pingat Kebesaran Ahli Mangku Negara(A.M.N.) daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ketiga.

P. Ramlee telah kembali ke Rahmatullah pada pagi Selasa 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang Kuala Lumpur. Bagi mengenang jasa dan sumbangannya, Allahyarham telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri. Selain itu rumah terakhir beliau di Jalan Dedap, Setapak telah diubahsuai dan dijadikan sebagai "Pustaka Peringatan P Ramlee" pada tahun 1986. Manakala di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur namanya turut diabadikan pada sebatang jalan iaitu Jalan P.Ramlee (dahulunya Jalan Parry) pada tahun 1982. Di Kuching juga ada sebatang jalan yg dinamakan Jalan P.Ramlee. Beliau turut mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran "doktor". Beliau juga diberi penghormatan oleh Kerajaan Negeri Sarawak,dengan penganugerahan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak "Datuk Amar Bintang Kenyalang" (Posthumous) (DA (P)).Anugerah tersebut telah disampaikan kepada anak angkat beliau,iaitu Dian P.Ramlee.



Kemudian, sempena 50 tahun kemerdekaan Malaysia iaitu pada tahun 2007, P. Ramlee telah terpilih sebagai 10 calon terakhir bagi program "Anak Gemilang Malaysia" yang mengiktiraf rakyat Malaysia yang banyak memberi sumbangan kepada negara dan kejayaannya menaikkan nama negara di mata dunia.

Pada tahun yang sama, kisah hidup beliau juga telah dipentaskan dalam satu pementasan teater muzikal dengan tajuk "P. Ramlee the Musical... Hidup, Cinta and Inspirasi"

Anugerah

Berikut merupakan senarai anugerah yang terlibat dengan beliau dan karya beliau sepanjang hidup beliau.

1945
Pertandingan Nyanyian Radio Pulau Pinang Malaya
Tempat ke-3 - P. Ramlee

1946
Pertandingan Nyanyian Keroncong Pulau Pinang
Tempat Pertama - P.Ramlee dan Pancaragam Keroncong Pemuda Indonesia
Pertandingan Nyanyian Radio Pulau Pinang Malaya
Tempat ke-2 - P.Ramlee

1947
Pertandingan Nyanyian Radio Pulau Pinang Malaya
Tempat pertama - P.Ramlee

1951
Majalah Filem Raya Malaya
Bintang Pujaan Malaya and Indonesia - P.Ramlee

1952
Majalah Filem Raya Malaya
Pelakon Terbaik - P.Ramlee
Filem Terbaik - Antara Senyum Dan Tangis
Filem Kegemaran - Juwita

1953
Majalah Filem Raya Malaya
Filem Terbaik - Hujan Panas
Pelakon Terbaik - P.Ramlee
Filem Kegemaran Malaya - Antara Senyum Dan Tangis
Filem Kegemaran Malaya dan Indonesia - Antara Senyum Dan Tangis
Pelakon Kegemaran Malaya dan Indonesia - P.Ramlee
Majalah Filem dan Sukan Utusan Malaya
Artis Tahunan 1953 - P.Ramlee
Filem Terbaik - Hujan Panas
Radio Malaya
Penyanyi Lelaki Terbaik - P.Ramlee

1956
Festival Filem Asia ke-3 Hong Kong
Skor Muzik Terbaik - P.Ramlee
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Zaiton bagi Hang Tuah
Majalah Bintang Singapura
Seniman Terbaik - P.Ramlee
Pengarah Terbaik - P.Ramlee
Penggubah Terbaik - P.Ramlee
Penyanyi Terbaik - P.Ramlee
Filem Terbaik - Semerah Padi
Filem Kedua Terbaik - Anakku Sazali
Pengarah Kedua Terbaik - Phani Majumdar bagi Anakku Sazali
Pelakon Wanita Terbaik - Saadiah Baharom bagi Semerah Padi
Majalah Filem dan Sukan Utusan Malaya
Filem Melayu Terbaik - Penarik Beca
Pengarah Terbaik - P.Ramlee
Seniman Terbaik - P.Ramlee
Lagu Terbaik - Inang Baru dari Penarik Beca

1957
Festival Filem Antarabangsa Berlin
Terpilih untuk Tayangan - Hang Tuah
Festival Filem Asia ke-4 Tokyo
Pelakon Lelaki Terbaik - P.Ramlee
Pelakon Kanak-kanak Terbaik - Tony Castillo bagi Anakku Sazali

1958
Festival Filem Asia ke-5 Manila
Fotografi Hitam Putih Terbaik - Abu Bakar Ali bagi Sumpah Orang Minyak
Majalah Kisah Bintang Dan Filem Malaya
Seniman Terbaik - P.Ramlee
Filem Terbaik - Sumpah Orang Minyak
Lagu Kedua Terbaik - Tudung Periuk dari Sumpah Orang Minyak

1959
Festival Filem Asia ke-6 Kuala Lumpur
Filem Komedi Terbaik - Pendekar Bujang Lapok

1960
Majalah Gelanggang Singapura
Filem Paling Popular - Pendekar Bujang Lapok
Fotografi Hitam dan Putih Terbaik - Nujum Pak Belalang
Majalah Bintang Singapura
Filem Kegemaran - Pendekar Bujang Lapok
Pengarah Kegemaran - P.Ramlee
Fotografi Hitam dan Putih Terbaik - Abu Bakar Ali bagi Nujum Pak Belalang
Seniman Teratas - P.Ramlee
Lagu Kegemaran - Jangan Adik Angan-Angan dari Musang Berjanggut
Festival Filem Asia ke-7 Tokyo
Filem Komedi Terbaik - Nujum Pak Belalang

1962
Festival Filem Asia ke-9 Tokyo
Pencalonan bagi "Filem Komedi Terbaik" - Seniman Bujang Lapok
Darjah Kurnia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Putra Jamalullail
Ahli Mangku Negara - P. Ramlee A.M.N.

1963
Festival Filem Asia ke-10 Tokyo
Fotografi Hitam dan Putih Terbaik - Abu Bakar Ali bagi Ibu Mertuaku
Bakat Paling Pelbagai - P.Ramlee

1964
Festival Filem Asia ke-11 Taipei
Filem Komedi Terbaik - Madu Tiga

1965
Festival Filem Dunia Paris
Anugerah Khas - Ibu Mertuaku

Jumaat, 11 Mac 2011

Pantang Larang Orang Melayu Tradisional

Pantang Larang Orang Melayu Tradisional merupakan kepercayaan masyarakat Melayu zaman lampau berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang. Kebanyakan adalah bertujuan untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Apa yang disebut bukan untuk dipercayai tetapi untuk dihayati mesej yang tersembunyi di sebalik pantang larang yang telah diperturunkan secara lisan sejak zaman berzaman.


Pantang Larang Untuk Wanita Hamil

1. Dilarang mencaci atau menceritakan kecacatan, dikhuatiri anak yang bakal lahir juga akan cacat.

2. Dilarang memukul, mendera atau mencederakan mana-mana binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahir mengalami kecacatan.

3. Dilarang memaku, memahat, mengail atau menyembelih binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahit bibir terbelah atau mengalami kecacatan.

4. Dilarang bergaduh dengan ibu mertua, dikhuatiri mengalami kesulitan ketika melahirkan anak.

5. Dilarang makan sotong, dikhuatiri menghadapi masalah ketika bersalin. Anak mungkin tercerut tali pusatnya.

6. Dilarang mencerca atau melihat sesuatu yang ganjil, dikhuatiri akan kenan.

7. Dilarang minum air tebu atau kelapa di awal kehamilan, dikhuatiri anak akan gugur.

8. Dilarang melihat gerhana, dikhuatiri anak mendapat tompok hitam atau bermata juling.

9. Dilarang melangkah kucing yang sedang tidur, dikhuatiri mata anak tertutup seperti kucing yang sedang tidur.

10. Dilarang menyusup di bawah penyidai, nanti anak akan terencat.

11. Dilarang makan makanan yang berakar seperti pegaga, nanti terlekat uri.

12. Dilarang tidur waktu tengahari, nanti kepala anak akan menjadi besar.


Pantang Larang Ke Atas Lelaki

1. Dilarang bersiul dalam rumah, nanti ular masuk.

2. Dilarang kencing atas busut, dikatakan buruk kemaluan.

3. Dilarang mengintai orang mandi, nanti mata ketumbit.

4. Dilarang tidur di tengah padang, nanti emak mati.

5. Dilarang ketawa waktu Maghrib, nanti datang hantu.

6. Kalau tidak tahan berpanas, nanti tunang dilarikan orang.


Pantang Larang Untuk Bayi

1. Bayi tak boleh ditegur jika badan gemuk, cuma katakan ‘semangat’ kerana ditakuti menjadi kurus.

2. Dilarang memicit mulutnya, nanti tiada selera makan.

3. Tak boleh diletak bayi atas lutut, nanti mendapat sakit perut.

4. Sisa makanan bayi tak boleh dimakan oleh ibu bapa, nanti melawan cakap.

5. Tak boleh dicium sewaktu tidur terutama di atas ubun-ubun kepala dan pada pusatnya kerana dikatakan pendek umur.

6. Kain lampin tak boleh direndam, nanti kembung perut.

7. Sewaktu bayi sedang tidur, kadangkala kita melihat dia tersenyum, ketawa dan ingin menangis. Jangan kejutkan kerana dikatakan bayi sedang bermain dengan urinya.

8. Tidak boleh menghembus mulutnya, nanti menjadi bisu.


Pantang Larang Ketika Berdiri

1. Tak boleh kencing berdiri, nanti punggung dijamah hantu.

2. Tak boleh berdiri tertindih kaki, dikatakan akan jauh rezeki.


Pantang Larang Ketika Makan

1. Makan pedal ayam, akan mengantuk ketika bersanding.

2. Makan tidak basuh pinggan, nanti lambat dapat menantu.

3. Makan pisang kembar, akan beranak kembar.

4. Makan waktu Maghrib, makan bersama hantu.

5. Makan sisa anak, anak akan degil.

6.. Tidur selepas makan, nanti perut buncit.

7. Makan sambil berjalan, dapat penyakit perut.

8. Bila makan, pinggan tak boleh diletak atas riba, nanti suami diambil orang.

9. Jangan makan nasi di senduk, nanti payah rezeki.

10. Makan bertindih pinggan, akan beristeri dua.

11. Makan telur tembelang, mendapat penyakit barah.

12. Makan dalam pinggan sumbing, dapat anak bibir sumbing.

13. Makan dalam belanga, dapat anak rupa hodoh.

14.Makan berlunjur,akan jadi pemalas.

15.Makan mencangkung, payah dapat rezeki.


Pantang Larang Sewaktu Tidur

1. Tidur di muka pintu, alamat dilangkah hantu.

2. Tidur di atas pokok, nanti dimakan langsuir.

3. Tidur di atas sejadah,nanti dihinggap kurap.

4. Tidur selepas makan, nanti ditindih hantu.

5. Tidur melekat nasi di kaki, nanti mimpi hantu.


Pantang Larang Ke Atas Perempuan

1. Dilarang menyanyi di dapur, nanti kahwin orang tua.

2. Dilarang menjahit di badan, nanti tidak lepas hutang.

3. Dilarang memakan leher ayam, nanti leher terkulai di pelamin.

4. Pantang bangun lewat, nanti sukar mendapat jodoh.

5. Dilarang makan nasi kerak, nanti mendapat anak bodoh.

6. Dilarang mencari kutu ditangga, nanti kahwin orang tua.

7. Dilarang mencucuk jarum pada waktu malam, nanti didatangi sial.

8. Dilarang bercermin di depan cermin retak, nanti wajah pucat di malam pertama.

9. Dilarang pakai baju basah, nanti badan naik kurap.

10. Pantang berbual di tangga, nanti dipinang orang di serambi rumah sahaja.

11. Dilarang makan bertindih pinggan, nanti menjadi madu orang.

12. Tak boleh menyapu nasi pada waktu malam, nanti pendek rezeki.

13. Dilarang mengerat kuku waktu malam, nanti datang sial.

14. Dilarang makan berubah tempat, nanti berkahwin ramai.

15. Dilarang meletak pinggan di tapak tangan ketika makan, dikhuatiri nanti akan merampas suami orang.


Pantang Larang Untuk Kanak-Kanak

1. Dilarang duduk atas bantal, nanti punggung terkena bisul.

2. Tak boleh memotong kuku waktu malam, nanti pendek umur.

3. Dilarang bersiul dalam rumah, nanti ular masuk.

4. Tak boleh jelir lidah, nanti lidah terpotong.

5. Makan kepala ikan, nanti menjadi bodoh.

6. Dilarang mengangkat kaki ketika meniarap, nanti emak mati.

7. Tak boleh menunjuk pelangi, nanti jari kudung.

8. Tak boleh makan dalam gelap, dikatakan makan dengan iblis.

9. Dilarang bermain atau keluar rumah waktu senja, nanti disorok hantu.

10. Tak boleh gigit kain, nanti gigi berulat.

11. Hempedal ayam tak boleh dimakan, nanti susah bersunat.

12. Dilarang bercakap dalam tandas, nanti mata ketumbit.


Pantang Larang Ketika Di dalam Hutan

1. Jika sesat di hutan, jangan tidur di tepi sungai, nanti dimakan hantu.

2. Dilarang pegang pokok merah, nanti badan menjadi gatal.

3. Jangan tidur di atas pokok jika sesat, nanti dilapah hantu.

4. Dilarang bercakap besar ketika di hutan, nanti mendapat bencana.

5. Pantang bersiul di hutan, nanti disambar langsuir.

6. Jangan melaung di tengah hutan, nanti disahut hantu.

7. Jika terdengar sahutan, jangan dijawab, dikhuatiri suara hantu.

8. Jangan mengambil batu atau benda ganjil di hutan, takut berpenunggu.

9. Dilarang menegur sesuatu yang aneh atau ganjil dihutan, nanti dirasuk atau dapat malang.


Pantang Larang Ketika Di Sungai

1. Jika nampak air berpusar, jangan hampiri, alamat buaya bergerak atau mengiring.

2. Jika ikan toman membawa anak, jangan melintas di hadapannya, nanti dilompati ke perut.

3. Jika terdengar suara semacam kerbau di tebing sungai, alamat ada buaya mengawan.

4. Dilarang bawa limau purut, nanti dibaham buaya.

5. Jika suara perempuan terdengar waktu Maghrib, alamat hantu pari sedang berpesta.

6. Jika kail disambar gondang (siput besar) , alamat rezeki mendatang.


Pantang Larang Ketika Duduk

1. Tak boleh duduk atas bantal, nanti dapat bisul.

2. Tak boleh duduk atas tangga ketika Maghrib, nanti dirasuk hantu.

3. Tak boleh menggoyang kaki, nanti tak lepas hutang.

4. Tak boleh duduk di beranda tangga, nanti payah rezeki.

5. Tak boleh duduk atas lesung, nanti berkudis dubur.

Khamis, 10 Mac 2011

Pantang Larang Orang Tua.

Memang dalam apa jua perkara kita tidak dpt lari dari petua mahupun pantang larang org tua. Adakalanya ia tidak logik dan tak masuk akal. Namun jika tidak diikut dan kemudiannya terjadi sesuatu perkara yg tidak baik kepada bayi, tentu mereka akan mula mengungkit. Berikut adalah beberapa pantang larang yg saya kumpulkan untuk panduan kita bersama.

a) Jangan minum air kelapa dan air nenas pada trimester pertama.
* dikhuatiri bayi akan gugur.

b) Jangan mengikat mati benang, plastik atau sebagainya.
* dikhuatiri ibu sukar melahirkan.

c) Jangan mengetuk dinding rumah.
* dikhuatiri uri bayi akan melekat pada rahim, biarpun bayi telah selamat dilahirkan.

d) Jangan mandi malam.
* dikhuatiri air ketuban akan berlebihan sehingga memudaratkan bayi dlm kandungan.

e) Jangan banyak minum ais.
* dikhuatiri saiz bayi akan besar dan sukar dilahirkan. Ada juga sesetengah pendapat
mengatakan takut bayi mudah dijangkiti demam kuning.

f) Elakkan minuman bergas dan kafein.
* dikhuatiri kandungan mudah gugur.

g) Jangan lilit tuala pada leher dan pada rambut (utk keringkan rambut)
* dikhuatiri tali pusat akan melilit leher bayi.

h) Kurangkan mkn buah oren.
* dikhuatiri bayi dilahirkan byk kahak.

i) Elakkan membuat kerja2 menjahit.
* dikhuatiri tali pusat anak akan berbelit dan sukar melahirkan.

j) Apabila terlihat benda yg pelik, cepat2 beristighfar.
* dikhuatiri bayi akan mengenan.

k) Kurangkan mkn pisang.
* pisang menyebabkan rambut bayi terlalu lebat.

l) Jangan memburu atau membunuh binatang. (bg suami dan isteri)
* dikhuatiri sukar utk bersalin.

m) Jangan mkn betik muda.
* getah yg ada padanya menyebabkan kandungan boleh gugur.

Inilah antaranya... saya pasti diluar sana masih byk pantang larang yg diberikan oleh org tua mereka. Apa jua pantang yg kita dgr... Jgn terlalu taksub lak mengikutnya... takut lari Akidah pula nanti. Yg penting, setiap ibu yg mengandung, pastikan anda menjaga tingkah laku dan percakapan sepanjang kehamilan. Apa juga yg dilakukan oleh si ibu, mungkin diwarisi oleh anak yg dikandung. Wallahua'lam

Rabu, 9 Mac 2011

Pantang Laramg Orang Melayu Semasa Mengandung....

Dalam mencari, berikut disertakan pantang larang orang Melayu, semasa mengandung:

Dilarang mencaci atau mengumpat, membuat fitnah, iri hati juga bergaduh terutamanya dengan ibu mertua. Perbuatan tersebut dipercayai akan mempengaruhi perangai anak yang bakal lahir. Ibu mengandung juga akan mengalami kesulitan semasa melahirkan anak.

Dilarang memaku, memahat dan menggali lubang. Tidak boleh memukul atau mencederakan binatang kerana dikhuatiri akan menyebabkan anak yang bakal lahir cacat anggota badan.

Dilarang keluar rumah pada waktu petang atau senja kerana dikhuatiri hantu akan menggusiknya.

Hendaklah menjauhi pergaulan dengan orang yang tidak jujur atau rendah maruahnya, kerana dipercayai ini akan mempengaruhi perangai anak yang bakal lahir.

Dilarang melihat gerhana bulan ataupun matahari kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir akan cacat atau berkulit gelap.

Dilarang duduk di anak tangga kerana dipercayai perbuatan ini akan mendatangkan kecelakaan kepada ibu sewaktu hendak melahirkan anak.

Ibu juga dilarang memikul batu kerana dikhuatiri anak dalam kandungan menjadi lumpuh.

Tidak boleh menanam pokok pisang kerana dikatakan perbuatan ini boleh menyebabkan anak berkepala besar yang luar biasa.

Ditegah menyusun tempurung kerana dikhuatiri anak yang dilahirkan akan botak kepalanya.

Ibu mengandung juga tidak boleh membiarkan anak-anak melangkah perut kerana dikhuatiri anak akan lahir cacat atau dilahirkan tidak cukup bulan.

Dilarang tidur pada waktu tengah hari kerana dikhuatiri kepala anak yang bakal lahir akan menjadi besar.

Selain pantang larang yang dinyatakan di atas terdapat beberapa pantang larang lagi yang bersangkut dengan suami kepada ibu mengandung:

Suami kepada ibu mengandung pula dilarang meniup seruling atau alat bunyi bunyian kerana dikhuatiri anak yang akan dilahirkan sentiasa menangis.

Suami juga dilarang menyembelih ataupun pergi memburu binatang kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir cacat anggota badannya.

Suami juga dilarang memukul, membunuh binatang seperti ular dan sebagainya kerana dipercayai anak yang lahir akan cacat atau kenan binatang tersebut.

Inilah antaranya... saya pasti diluar sana masih byk pantang larang yg diberikan oleh org tua mereka. Apa jua pantang yg kita dgr... Jgn terlalu taksub lak mengikutnya... takut lari Akidah pula nanti. Yg penting, setiap ibu yg mengandung, pastikan anda menjaga tingkah laku dan percakapan sepanjang kehamilan. Apa juga yg dilakukan oleh si ibu, mungkin diwarisi oleh anak yg dikandung. Wallahua'lam

Khamis, 3 Mac 2011

Hikayat Merong Mahawangsa (Official Teaser)



HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA

Hikayat Merong Mahawangsa atau Sejarah Kedah adalah hikayat yang menceritakan susur galur Merong Mahawangsa dan pengasas Kedah, sebuah negeri di Malaysia. Sungguhpun terdapat beberapa fakta sejarah, ia turut mengandungi dakwaan yang mengkagumkan. Era yang dirangkumi oleh teks ini bermula dari pembukaan negeri Kedah oleh Merong Mahawangsa, yang didakwa sebagai keturunan Iskandar Agung dari Macedonia sehingga ketibaan Islam pada abad ke-2 M.

Merong Mahawangsa merupakan penganut Hindu dan terdapat sembilan pemerintah Hindu sebelum Phra Ong Mahawangsa memeluk Islam pada 1136 dan mengambil nama Sultan Mudzafar Shah. Hikayat ini turut menggambarkan serangan Chola ke atas Kedah.

Bahagian awal cerita mengemukakan kisah-kisah raja dan pembukaan negeri berdasarkan mitos dan lagenda atau cerita-cerita khayalan yang dipercayai masyarakatnya, sama ada bersifat tempatan, bersifat Hindu ataupun cerita-cerita yang berasal dari pengaruh Islam. Dalam bahagian inilah hikayat ini menyatakan yang menjadi nenek moyang raja-raja Kedah ialah Raja Merong Mahawangsa, seorang raja yang bukan sahaja mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Raja Rom tetapi juga menjadi pembesar kepercayaannya.

Angkatan Raja Merong Mahawangsa yang sedang belayar dari Rom ke negeri China telah diserang oleh geroda. Ia membuka negeri Langkasuka dan diangkat menjadi raja. Ia pulang ke Rom setelah menabalkan puteranya Raja Merong Mahapudisat menjadi raja. Langkasuka ditukar namanya ke Kedah Zamin Turan.

Berpandukan nasihat yang diberikan oleh ayahandanya, Raja Merong Mahapudisat merajakan putera sulungnya menjadi Raja Siam, putera tengah, Raja Ganjil Sarjuna dari Kedah ditabal sebagai Raja Perak dan anakandanya yang ketiga, seorang puteri, sebagai Raja Patani. Putera yang bongsu menggantikan ayahanda mereka sebagai Raja Kedah dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa. Raja inilah yang memulakan tradisi menghantar persembahan bunga mas dan bunga perak sebagai hadiah kepada kekandanya, Raja Siam, setiap kali kekandanya mendapat putera.

Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah kecewa dengan puteranya yang tidak menurut perintah dan digantikan oleh putera itu dengan gelaran Raja Seri Maha Inderawangsa. Seterusnya putera Raja Seri Maha Inderawangsa menjadi raja dengan gelaran Raja Ong Maha Perita Deria yang lebih terkenal dalam sejarah negeri Kedah sebagai Raja Bersiong. Apabila Raja Bersiong turun dari takhta setelah ditentang kerana kezalimannya, puteranya ditabalkan sebagai Raja Phra Ong Mahapudisat. Raja ini digantikan oleh puteranya, Raja Phra Ong Mahawangsa yang kemudiannya menjadi raja Kedah yang pertama memeluk agama Islam. Syeikh Abdullah Yamani menukarkan namanya kepada Sultan Mudzafar Shah.

Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, terdapat 8 orang Raja yang berkuasa di Langkasuka yang juga pengasas kepada kerajaan Kedah Tua bermula disekitar Lembah Bujang. Diantara mereka juga merupakan pengasas kepada Kerajaan Siam, Gangga Negara dan negeri Patani, Selatan Siam (Thailand). Berikut adalah penama-penamanya:
Merong Mahawangsa (berasal dari Rom kemudiaan belayar ke China. Dalam pelayarannya ke China, baginda telah diserang oleh garuda. Lalu bersinggah ke wilayah Lembah Bujang, Langkasuka (Kedah Tua) bagi membuka penempatan baru). Baginda berketurunan Kaisar Romawi Iskandar Agung dari Macedonia. Merong Mahawangsa ialah seorang Raja beragama Hindu.

Raja Merong Mahapudisat, putera sulong Merong Mahawangsa. Beragama Hindu. Baginda ditabalkan di Rom sebagai Raja Siam. Langkasuka ditukar nama sebagai "Kedah Zamin Turan". Baginda menjadi Raja Siam pertama.

Raja Ganjil Sarjuna dari Kedah, putera kedua Merong Mahawangsa. Beragama Hindu. Ditabal Raja dan pengasas bagi Kerajaan Gangga Negara.

Raja Puteri, merupakan anak ketiga Merong Mahawangsa. Juga merupakan seorang Puteri, beragama Hindu. Ditabal sebagai Raja Patani pertama.

Raja Seri Mahawangsa, petera bongsu Merong Mahawangsa. Beragama Hindu. Menggantikan ayahdanya Merong Mahawangsa sebagai Raja Kedah. Raja inilah yang memulakan tradisi menghantar persembahan ufti bunga mas dan bunga perak sebagai hadiah kepada kekandanya sulongnya, Raja Siam, setiap kali kekandanya mendapat putera. Mempunyai seorang putera yang degil yang bernama Raja Seri Maha Inderawangsa.

Raja Seri Maha Inderawangsa merupakan putera kepada Raja Seri Mahawangsa. Beragama Hindu. Merupakan Raja yang degil dan zalim. Memakai gelaran Raja Ong Maha Perita Deria. Bagi rakyat jelata, baginda lebih sinonim dengan panggilan Raja Bersiong kerana suka memakan darah manusia. Lari kedalam hutan Gunung Jerai dan mangkat disana selepas di serang oleh angkatan tentera menterinya. Meninggalkan seorang putera yang bernama Raja Phra Ong Mahapudisat.

Raja Phra Ong Mahapudisat merupakan putera kepada Raja Seri Maha Inderawangsa (Raja Bersiong). Raja Phra Ong Mahapudisat merupakan Raja beragama Hindu. Mempunyai seorang putera bernama Raja Phra Ong Mahawangsa.

Raja Phra Ong Mahawangsa merupakan putera kepada Raja Phra Ong Mahapudisat. Asalnya beragama Hindu, kemudian memeluk agama Islam. Menukar nama sebagai Sultan Mudzafar Shah (Dipercayai sebagai Sultan pertama Kedah dan salah seorang Sultan tertua didunia bermula tahun 1136). DiIslamkan oleh Syeikh Abdullah Yamani.